Keningau, 20 November 2024 – Kolej Geomatika Keningau dengan penuh gilang-gemilang telah menganjurkan Majlis Pelancaran Pembelajaran Teradun (Blended Learning) di Event Hall kampus tersebut. Majlis ini dirasmikan oleh YBhg Tuan Peter Jonu @ Peter J. Moinjil, Pegawai Daerah Keningau, sebagai tanda komitmen kolej dalam menyokong transformasi pendidikan digital di kawasan pedalaman Sabah.



Program ini bertujuan memperkenalkan kaedah pembelajaran teradun, yang menggabungkan pengajaran bersemuka dan secara maya. Ia direka untuk memberikan fleksibiliti kepada pelajar sambil meningkatkan keberkesanan pembelajaran. Encik Roger Romeo, Senior Eksekutif Kolej Geomatika Keningau, memulakan sesi pembentangan dengan pengenalan tentang institusi, diikuti oleh taklimat tentang pembelajaran teradun oleh Cik Nur Azsyerrah, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik & Industri.




Majlis ini bertujuan untuk:
- Menggalakkan kolaborasi antara institusi dalam menyokong pembelajaran teradun.
- Memberi pendedahan kepada orang ramai tentang kemudahan, fasiliti, dan program yang ditawarkan oleh Kolej Geomatika Keningau.
- Menyokong agenda pendidikan negara dengan memperluaskan akses pendidikan berkualiti ke kawasan pedalaman.
Majlis dimulakan dengan lagu kebangsaan dan bacaan doa, diikuti pembentangan serta ucapan alu-aluan oleh Prof. Madya Faridah Muri, Rektor Kolej Geomatika Keningau. Kemuncak acara ialah ucapan perasmian oleh YBhg Tuan Peter J. Moinjil. Acara turut diserikan dengan persembahan tarian kebudayaan oleh pelajar-pelajar kolej, mempamerkan keindahan tradisi tempatan.





Para tetamu berpeluang melawat fasiliti moden yang disediakan, termasuk bilik simulasi pendidikan awal kanak-kanak, makmal komputer, dan studio kosmetologi. Lawatan ini memperlihatkan usaha Kolej Geomatika Keningau dalam menyediakan persekitaran pembelajaran berkualiti tinggi.





Majlis ini menjadi bukti komitmen Kolej Geomatika Keningau untuk terus memperkasakan pelajar dengan ilmu dan kemahiran relevan. Pelancaran pembelajaran teradun ini menandakan langkah besar ke arah pendidikan masa depan yang inklusif dan inovatif.