Skip to main content

Tongod, 11 September 2024 (Rabu) — Kolej Geomatika Keningau telah mengambil langkah proaktif dalam membina hubungan yang lebih erat dengan komuniti melalui satu perbincangan dan jalinan kerjasama yang melibatkan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Negeri Sabah cawangan Tongod dan Biro Pendidikan Daerah Tongod.

Perbincangan ini yang diadakan pada Rabu lepas bertujuan untuk membincangkan pelaksanaan Program Jelajah Pendidikan Geomatika Bersama Komuniti Tongod, satu inisiatif yang dirancang khusus untuk meningkatkan kesedaran tentang peluang pendidikan tinggi di kalangan masyarakat luar bandar di kawasan Tongod.

Kerjasama dengan UPPM dan Biro Pendidikan Daerah Tongod adalah penting kerana kedua-dua entiti ini mempunyai pengaruh yang besar dalam menyelaras pembangunan di peringkat daerah, terutamanya dari aspek pendidikan dan sosial. Melalui kerjasama strategik ini, Kolej Geomatika Keningau dapat memperluaskan akses pendidikan ke kawasan pedalaman dan memastikan pelajar dari kawasan terpencil seperti Tongod tidak ketinggalan dalam menikmati peluang pendidikan yang berkualiti.