Skip to main content

Keningau, 1 Mac 2025 – Suasana di UTC Keningau baru-baru ini dimeriahkan dengan penganjuran Kursus Kuasai Skill & Teknik Asas Emcee dan Pengucapan Awam, yang telah berlangsung dengan jayanya. Kursus ini dikendalikan oleh personaliti terkenal dalam bidang komunikasi dan pengucapan awam, Cikgu Mohazar Mahat, yang tidak asing lagi dengan pendekatan praktikal dan penuh inspirasi.

Program ini memberi peluang kepada peserta untuk mempelajari pelbagai teknik penting dalam dunia pengacaraan dan komunikasi, termasuk kawalan suara, penggunaan intonasi yang berkesan, penyusunan skrip, serta cara mengatasi rasa gemuruh ketika berucap di khalayak ramai. Tidak hanya teori, latihan praktikal turut dilaksanakan agar peserta dapat terus mengaplikasikan ilmu yang diperoleh.

Menariknya, dua pelajar dari Kolej Geomatika Keningau, iaitu Leonard Linh Ak Belynder dan Habib Mohd Farhan Hakim bin Habib Mohd Rafiee, telah berpeluang menyertai kursus ini hasil tajaan daripada Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Gunaan. Penyertaan mereka adalah sebahagian daripada inisiatif untuk mencungkil dan mengasah bakat pelajar dalam bidang emcee dan pengucapan awam.

Penganjuran program seperti ini bukan sahaja membuka ruang pembelajaran yang berkesan, malah diharapkan menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus menguasai kemahiran komunikasi — satu aspek penting yang semakin mendapat perhatian dalam pelbagai industri masa kini.

Semoga lebih ramai pelajar terinspirasi dan berani melangkah ke hadapan, menjadi wajah dan suara kepada acara-acara besar di masa akan datang!