Skip to main content

Keningau, 26 Februari 2025Fakulti Pendidikan dan Sains Manusia, Kolej Geomatika Keningau telah menganjurkan Program Pameran Makanan Tradisi yang berlangsung dengan meriah bagi mempromosikan kepelbagaian budaya di Malaysia. Program ini melibatkan penyertaan daripada pelajar Semester 4 Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang mempamerkan hidangan tradisional dari pelbagai etnik di Sabah khususnya.

Program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Prof. Madya Faridah Muri, Rektor Kolej Geomatika Keningau, bersama kakitangan akademik dan pentadbiran kolej. Para pelajar mengambil peluang ini untuk memperkenalkan keunikan makanan tradisional kepada warga kolej serta meningkatkan kesedaran tentang kepelbagaian budaya.

Antara makanan tradisi yang dipamerkan adalah daripada etnik Rungus, Murut, Lundayeh, Dusun, Melayu, Cina, dan Bajau. Setiap hidangan bukan sahaja mewakili identiti budaya masing-masing tetapi juga mencerminkan warisan turun-temurun yang perlu dikekalkan dan dihargai oleh generasi muda.

Pameran ini bertujuan untuk memupuk nilai kepelbagaian budaya dalam kalangan pelajar Kolej Geomatika Keningau, Sabah. Dengan adanya program sebegini, diharapkan para pelajar dapat lebih memahami dan menghargai kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan masyarakat majmuk di Malaysia.