Keningau, 16 Disember 2024 – Sekolah Henry Gurney Keningau telah menerima kunjungan hormat daripada Rektor Kolej Geomatika Keningau, Puan Faridah Muri. Beliau turut disertai oleh En. Roger Romeo, Pengurus CoPace, dan En. Nickholin Nelvin Nafirin, PPD & Pemasaran TVET Kolej Geomatika Keningau.

Kunjungan ini diterima oleh YDH PKP Sirajuddin bin Abdul Majid, Pengarah Sekolah Henry Gurney Keningau, yang turut membawa rombongan ke Ladang Bersepadu Sekolah Henry Gurney Keningau serta kawasan sekitar yang relevan dengan tujuan lawatan. Ini memberi peluang untuk meneroka potensi kerjasama antara kedua-dua pihak dalam usaha memperkukuh program-program yang dapat memberi manfaat kepada pelajar di institusi ini.
Tujuan utama kunjungan dan lawatan adalah untuk membincangkan halatuju program dalam komuniti serta program-program yang ditawarkan di Kolej Geomatika Keningau, khususnya yang berkaitan dengan pemulihan di institusi ini. Diskusi ini juga memberi tumpuan kepada bagaimana Kolej Geomatika dapat memainkan peranan dalam membantu para pelajar dan prospek menjalani program pemulihan yang disediakan oleh Jabatan Sekolah Henry Gurney dan meningkatkan peluang pendidikan mereka.

Semoga kerjasama yang terjalin antara Kolej Geomatika Keningau dan Sekolah Henry Gurney Keningau dapat membuka lebih banyak peluang untuk memberi manfaat kepada pelajar dan komuniti. Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan kunjungan hormat ini.
Kolej Geomatika Keningau – Membangun Kerjasama, Memperkasa Pendidikan!