Tambunan, 2 November 2025 – Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Gunaan (FABAM), Kolej Geomatika Keningau telah berjaya menganjurkan Program Jalinan Kasih Bersama Komuniti Kitou yang berlangsung selama 3 hari 2 malam dari 31 Oktober hingga 2 November 2025 bertempat di Sekolah Kebangsaan Kitou, Tambunan. Program ini melibatkan seramai 45 orang pelajar dan 5 orang pensyarah, dengan pelaksanaan pelbagai aktiviti pendidikan, kemasyarakatan, sukan dan kebudayaan.
Sepanjang program berlangsung, para pelajar diberi pendedahan secara langsung kepada kehidupan komuniti luar bandar melalui aktiviti team building, demonstrasi pertanian, pertandingan komuniti, servis kebajikan serta Malam Kebudayaan bertemakan “Hawai” yang penuh warna-warni dan kreativiti. Program ini bukan sahaja memupuk semangat kerjasama dan kepimpinan, malah memperkukuh nilai empati, kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar.
Sebagai penutup, aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan sekolah telah menjadi simbol hubungan erat antara institusi pendidikan dan masyarakat setempat. Program ini membuktikan komitmen Kolej Geomatika Keningau dalam melahirkan pelajar holistik yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah prihatin terhadap pembangunan komuniti dan kesejahteraan sosial.



