TAWAU, 8 Februari 2026 – Kolej Geomatika Keningau (GCK) telah menyertai Karnival Jom Masuk Universiti Sabah I 2026 yang berlangsung pada 7 hingga 8 Februari 2026 bertempat di Kompleks Sukan Tawau.

Sepanjang dua hari penganjuran, program ini berjaya menarik kehadiran ramai lepasan SPM, ibu bapa serta pengunjung yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Antara fokus utama yang mendapat perhatian adalah program TVET, kursus-kursus yang ditawarkan, pilihan pembiayaan pendidikan serta hala tuju kerjaya di GCK.

Pegawai dan wakil kolej turut memberikan penerangan secara langsung berkaitan syarat kemasukan, kemudahan pembelajaran serta kelebihan program yang ditawarkan, bagi membantu pelajar membuat keputusan yang tepat dalam merancang masa depan pendidikan mereka.

Pihak kolej merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pengunjung yang telah hadir dan singgah ke booth GCK sepanjang karnival berlangsung. Diharapkan penyertaan ini dapat membuka lebih banyak peluang kepada lepasan sekolah untuk menyambung pengajian dan membina laluan kerjaya yang lebih terarah.