5 Februari 2026 – Program AgroInspirasi: Menyemai Inspirasi, Menuai Masa Depan telah berjaya dilaksanakan dengan penuh jayanya melibatkan pelajar Diploma Pengurusan Perladangan. Program ini dirangka sebagai platform pendedahan industri dan pemantapan hala tuju kerjaya dalam bidang agroteknologi serta keusahawanan pertanian.

🎤 Knowledge Sharing: Geran Agropreneur Muda (PAM)
Sesi perkongsian telah disampaikan oleh Encik Michael Tambi, Pengurus Agro Kali Farm, yang memberikan penerangan terperinci mengenai Geran Agropreneur Muda (PAM). Beliau menghuraikan aspek kelayakan permohonan, prosedur mendapatkan geran serta cabaran sebenar dalam membangunkan perniagaan agro. Perkongsian berasaskan pengalaman lapangan ini memberi gambaran realistik kepada pelajar tentang potensi dan risiko dalam sektor pertanian moden.

👥 Sesi Perkongsian Alumni
Turut memeriahkan program ialah sesi bersama alumni iaitu Mohd Nazmi, Ester Yohanis dan Muhammad Izwansyah. Mereka berkongsi pengalaman memasuki alam pekerjaan, cabaran awal kerjaya serta strategi membina jaringan profesional dalam industri perladangan. Sesi ini membuka ruang interaksi dua hala yang membolehkan pelajar mendapatkan panduan terus daripada graduan terdahulu.

Secara keseluruhannya, Program AgroInspirasi berjaya mencapai objektifnya sebagai medium pemindahan ilmu, motivasi serta pemerkasaan minda keusahawanan dalam kalangan pelajar. Ucapan penghargaan dirakamkan kepada semua penceramah, alumni serta pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program ini. Diharapkan inisiatif seumpama ini terus menjadi pemangkin kepada pembangunan kompetensi dan aspirasi masa depan pelajar.