7 Januari 2026, Keningau – Satu perjanjian kerjasama strategik telah dimeterai antara Kolej Geomatika Keningau dan IMIKA Keningau bagi pelaksanaan Insentif Komputer Riba Khas kepada pelajar baharu ambilan tahun 2026.

Inisiatif ini bertujuan menyediakan akses komputer riba mampu milik kepada para pelajar sebagai sokongan terhadap keperluan pembelajaran digital sepanjang tempoh pengajian. Kerjasama ini juga selaras dengan komitmen kolej dalam memperkasa pendidikan berteraskan teknologi serta memastikan setiap pelajar mempunyai kemudahan peranti yang mencukupi untuk mengikuti kelas, tugasan dan aktiviti pembelajaran secara efektif.

Melalui perjanjian ini, pelajar baharu akan menikmati tawaran istimewa dan pakej harga yang lebih berpatutan, sekali gus membantu meringankan beban kewangan keluarga. Pihak pengurusan berharap insentif ini dapat meningkatkan kesiapsiagaan pelajar dalam menghadapi persekitaran pembelajaran yang semakin berorientasikan digital.

Kerjasama strategik ini mencerminkan usaha berterusan dalam memperkukuh jaringan industri serta menyediakan ekosistem pembelajaran yang kondusif dan relevan dengan keperluan semasa.