Skip to main content

KENINGAU, 25 Oktober 2025 -Tourism Fest 2025 mencipta suasana penuh warna dan meriah di Pusat Informasi Pelancongan Keningau. Festival yang bermula seawal jam 7.00 pagi ini berjaya menarik perhatian masyarakat setempat serta pengunjung luar daerah yang hadir bagi memeriahkan pelbagai acara menarik. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau, YBhg. Encik Rafie Robert, yang turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan.

Pelbagai aktiviti dianjurkan bagi memupuk semangat komuniti dan mengetengahkan bakat tempatan, antaranya pertandingan mewarna dan peragaan pakaian kanak-kanak, pertandingan gusti lengan, serta kejohanan e-sukan Tekken 8. Turut menyerikan festival ini ialah pameran kraftangan dan produk pelancongan tempatan yang memberi peluang kepada pengunjung untuk lebih mengenali hasil seni dan budaya masyarakat Keningau.

Penganjuran bersama Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau, Geomatika College Keningau Sabah, serta kerjasama erat Persatuan Komuniti Pelancongan Keningau menjadikan festival ini platform penting dalam mempromosikan destinasi pelancongan daerah. Tourism Fest 2025 bukan sahaja mengeratkan hubungan komuniti, malah membuka ruang kepada pemain industri tempatan untuk berkongsi produk dan perkhidmatan mereka dalam usaha memperkasa sektor pelancongan dan kebudayaan Keningau.

Fest ini sekali lagi membuktikan bahawa Keningau merupakan destinasi yang penuh potensi, kaya dengan budaya, dan mempunyai daya tarikan tersendiri untuk terus diterokai.