Papar, 10 April 2025 (Khamis) – Kelab Christian Fellowship Association (CFA) dengan kerjasama Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) telah menganjurkan satu program lawatan ke Holy Family Residence for Senior Citizens, Papar, Sabah. Program ini menjadi wadah untuk mahasiswa Geomatika College Keningau menzahirkan rasa kasih, prihatin, dan empati terhadap warga emas.

Lawatan ini turut memberi peluang kepada pelajar untuk menyelami kehidupan warga tua sambil menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan harian serta sokongan moral. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan turut menceriakan suasana dan memberi hiburan kepada penghuni kediaman tersebut.
Konsep program ini sejajar dengan matlamat Geomatika College Keningau (GCK) dalam menerapkan nilai integriti, empati, dan semangat perpaduan dalam kalangan mahasiswa. Selain itu, ia juga menggalakkan hubungan mesra dengan komuniti setempat, sekali gus mewujudkan suasana harmoni dan saling menghormati.
Melalui pengisian program ini, pelajar bukan sahaja dapat menyumbang kepada kesejahteraan warga tua, malah turut memperoleh pengalaman bermakna dalam menghayati nilai kemanusiaan dan kepedulian sosial.



