Keningau, 3 September 2025 – Kolej Geomatika Keningau baru-baru ini berpeluang menyertai Engagement Programme with Community Based Tourism (CoBT) Keningau 2025 yang berlangsung di Taman Bandukan Riverside Resort, Bingkor. Program ini bukan sahaja menjadi platform untuk perkongsian pengalaman, tetapi juga langkah penting dalam memperkukuh pelancongan komuniti di Keningau.
Program ini dianjurkan oleh Pejabat Daerah Keningau, dengan kerjasama Keningau Tourism & Cultural Association (KeTCA) dan Sabah Tourism Board, dan telah dirasmikan oleh Puan Christine Tiffany Charlse Lohindun, Penolong Pegawai Daerah (Pentadbiran). Ia menghimpunkan pelbagai pihak, termasuk agensi kerajaan, pengusaha pelancongan, dan komuniti setempat, bagi berbincang tentang masa depan pelancongan di Sabah.








Salah satu momen menarik adalah sesi perkongsian kejayaan usahawan pelancongan daripada Eko Pelancongan dan Tagal Komuniti Kg. Rantai Apin-Apin, serta Bandukan Eko-Park. Peserta juga berpeluang mendengar pandangan berharga dari Mr. Julinus Jimit, CEO Sabah Tourism Board, dan Mr. Darryl Hamzah dari Tourism Malaysia Sabah mengenai pembangunan pelancongan berasaskan komuniti.
Program ini menarik hampir 100 peserta, termasuk usahawan pelancongan dan kraftangan, wakil jabatan kerajaan, organisasi budaya daripada komuniti Dusun Gana, Kujau, Liwan dan Murut Naabai, pelajar Kolej Geomatika Keningau, dan sukarelawan pelancongan di bawah inisiatif “Voluntourism”.
Dalam ucapannya, Encik Rafie Robert, Pengerusi KeTCA dan Ahli Lembaga Pengelola Kolej Geomatika Keningau, menekankan bahawa persatuan sedia membantu masyarakat Keningau dalam mempromosikan produk pelancongan setempat. Beliau turut menegaskan bahawa setiap produk pelancongan perlu bersedia menerima pengunjung dengan fasiliti dan perkhidmatan yang lengkap.
Program ini terbukti memberi impak besar kerana ia meningkatkan kualiti produk pelancongan peserta dan membuka peluang baharu dalam industri pelancongan. Menurut Encik Rafie, program seperti ini seharusnya diteruskan kerana ia memberi motivasi, galakan, dan pengetahuan baharu melalui perkongsian pengalaman dan kepakaran.



