15 Ogos 2025 – Kolej Geomatika Keningau (GCK) dengan sukacitanya merakamkan penghargaan kepada YBrs. Tuan Rafie Robert atas pelantikan beliau sebagai Lembaga Pengelola (Board of Governor) serta pemeteraian MoU bersama Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau.
Kerjasama ini diharap dapat memperkukuh kualiti pendidikan GCK melalui penambahbaikan kurikulum dan aktiviti pembelajaran, serta memajukan industri pelancongan di Keningau dengan membina jaringan bersama penggiat industri tempatan. Langkah ini juga memberi peluang Latihan Industri kepada pelajar, membolehkan mereka mendapatkan pengalaman sebenar dalam industri pelancongan, sekaligus memperkasakan kemahiran profesional dan persediaan kerjaya.






YBrs. Tuan Rafie Robert menyatakan rasa besar hati menerima perlantikan ini dan mengucapkan terima kasih kepada GCK atas kepercayaan yang diberikan untuk menyumbang idea-idea baru bagi meningkatkan kualiti kolej. Beliau berharap, melalui peranan sebagai Board of Governance, beliau dapat membantu GCK mencapai kecemerlangan pendidikan dan menjadi kolej yang lebih dikenali di peringkat tempatan dan nasional.
Selain itu, selaku Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau, beliau juga menghargai peluang kerjasama ini untuk membangunkan industri pelancongan tempatan. Inisiatif ini bukan sahaja menyokong pembangunan ekonomi Keningau, tetapi turut memberikan pengalaman praktikal kepada pelajar GCK, yang dapat belajar secara langsung daripada penggiat industri tempatan.
Kerjasama strategik ini menandakan langkah penting menyatukan pendidikan dan industri, sekaligus mengukuhkan misi GCK untuk menghasilkan graduan yang berkemahiran tinggi dan berdaya saing. Dengan sokongan pihak industri dan komitmen pengurusan kolej, GCK yakin dapat mencipta impak positif yang berterusan untuk pelajar dan komuniti Keningau.





