Skip to main content

Keningau, 16 April 2025 – Fakulti Perniagaan & Pengurusan Gunaan (FABAM) Kolej Geomatika Keningau telah berjaya menganjurkan Hari FABAM yang berlangsung di Event Hall dan Dewan Mini dengan penuh meriah serta mendapat sambutan hangat daripada pelajar dan tetamu jemputan.

Program bermula seawal jam 7.30 pagi dengan doa pembukaan majlis, sebelum diteruskan dengan ceramah inspirasi bertajuk “Glow Up with Purpose: Self-Worth, Skincare & Personal Branding” yang disampaikan oleh Beauty Consultant, Cik Epayoyosh. Sesi ini memberi pencerahan tentang penjagaan diri secara holistik serta bagaimana membentuk imej diri yang lebih positif dan berkeyakinan.

Seterusnya, Puan Ramlah Ag. Jalil, Pengurus Taman Banjaran Crocker (Sabah Parks), turut berkongsi ilmu melalui ceramah mengenai kepentingan pemuliharaan alam sekitar serta peluang kerjaya dalam industri pelancongan di Sabah. Ceramah ini bukan sahaja memberi kesedaran, tetapi juga membuka minda pelajar terhadap masa depan industri hijau yang kian berkembang.

Di samping itu, suasana semakin meriah dengan pelbagai aktiviti seperti booth jualan dan pertandingan anjuran setiap program diploma di Anjung Kolej Geomatika Keningau. Aktiviti ini memberi ruang kepada pelajar untuk menonjolkan kreativiti, keusahawanan dan semangat berpasukan.

Majlis turut diserikan dengan persembahan tarian, sesi penyampaian cenderamata, sesi bergambar kenangan, sebelum diakhiri dengan jamuan makan tengah hari.

Secara keseluruhannya, Hari FABAM 2025 bukan sekadar sebuah program tahunan, tetapi sebuah platform yang menggabungkan ilmu, hiburan dan kesedaran sosial. Ia berjaya meninggalkan impak positif dalam kalangan peserta, khususnya dalam membina keyakinan diri serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan menjaga alam sekitar.