Skip to main content

Keningau, 5 Disember 2024 – Bahagian Hal Ehwal Pelajar Kolej Geomatika Keningau (GCK) telah berjaya menganjurkan Prom Night Dinner & Acara Penghargaan 2024 yang berlangsung dengan penuh gilang-gemilang di Hotel Juta, Keningau. Acara ini menjadi kenangan manis yang tak terlupakan buat semua yang hadir, termasuk para pelajar, pensyarah, dan staf.

Dewan Hotel Juta dihias indah dengan tema malam yang glamor, memukau setiap tetamu yang hadir. Para hadirin tampil anggun dan segak dengan busana formal yang menambahkan lagi keindahan suasana malam tersebut. Acara ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan sesama warga kolej sambil meraikan pencapaian individu dan kolektif sepanjang tahun 2024.

Pelbagai aktiviti menarik telah diatur bagi memastikan malam tersebut berkesan dan menghiburkan, antaranya sesi cabutan bertuah yang memberikan peluang kepada pelajar dan tetamu untuk memenangi pelbagai hadiah menarik, pemilihan Prom King dan Prom Queen yang menonjolkan keunikan serta keyakinan pelajar, dan persembahan tarian istimewa oleh pelajar-pelajar GCK yang memukau hadirin dengan kreativiti dan bakat seni yang luar biasa.

Prom Night Dinner & Acara Penghargaan 2024 bukan sahaja menjadi malam penuh memori indah tetapi juga melambangkan komitmen Kolej Geomatika Keningau dalam membangun semangat kekeluargaan dan kecemerlangan dalam kalangan warganya. Semoga acara seperti ini dapat diteruskan di masa hadapan dengan kejayaan yang lebih gemilang!